Thursday, December 6, 2012

Syeikh Mahmud Syaltut

     Ulama dan pemikir Islam yang terkemuka dan berkaliber di peringkat antarabangsa dari Universiti Al-Azhar,Kaherah ialah Mahmud Syaltut.Beliau yakin bahawa pintu ijtihad tetap terbuka dan gigih memperjuang cita-cita pembaharuan Islam secara umumnya dan pembaikan Al-Azhar secara khususnya.Syaltut lahir pada 23 April 1892 di Maniyah,Bani Mansur,Itai al-Bairud,Bukhairah,Mesir.Ketika berusia 13 tahun,beliau telah menghafal Al-Quran dan pada usia 25 tahun,beliau tamat sebagai lulusan terbaik dalam bidang ilmu keislaman di Al-Azhar.Beliau seterusnya mengajar di sana.Beliau juga menulis karya dalam bidang syariat,tafsir,hadis dan bahasa arab yang menjadi namanya terkenal di seluruh dunia Islam.

     Pada 1937,Syaltut mewakili Al-Azhar dalam Kongres Antarabangsa tentang Undang-Undang di The Hague,Belanda.Ketika itu beliau menyajikan risalah ilmiah tentang undang-undang Islam.Alhamdulillah hasil daripada usaha beliau itu,kongres membuat kesimpulan bahawa syariat Islam ialah hukum yang berdiri sendiri        
dan layak dijadikan sumber perundangan bagi manusia untuk setiap zaman dan tempat.Beliau banyak menghabiskan masa untuk Institusi Al-Azhar.

     Sebagai ulama yang berpandangan jauh,beliau berusaha menentang kejumudan berfikir dan sikap fanatik bermazhab yang membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.Beliau juga menentang pendapat bahawa ijtihad sudah tertutup.Beliau menyeru para ulama supaya bersedia melakukan ijtihad berdasarkan Al-Quran.

     Mahmud Syaltut banyak menghabiskan masanya untuk berbakti kepada Al-Azhar.Pada 1927,beliau dilantik sebagai pengajar peringkat takhassus(pakar).Rektor pada waktu itu ialah Syeikh Mustafa al-Maraghi.Beliau kerap kali menulis risalah yang menyokong program al-Maraghi bagi memajukan Al-Azhar.Namun ramai ulama di kalangan Al-Azhar tidak dapat menerima pandangannya.Akibatnya pada 1931 beliau disingkirkan dari Al-Azhar.Meskipun demikian,beliau terus melontarkan kritikan,baik secara lisan mahupun tulisan demi kebaikan Al-Azhar.Kemudian beliau dilantik semula sebagai pengajar Al-Azhar,bahkan sebagai Timbalan Dekan Fakulti Syariah.

     Pada 1958,beliau terpilih sebagai rektor yang ke-41 di Universiti Al-Azhar.Sebagai rektor,beliau berpeluang melaksanakan cita-cita dan pemikirannya.Pada 1960,beliau telah memindahkan Institut Pembacaan Al-Quran ke Masjid Al-Azhar untuk mengembalikan fungsi Al-Azhar ke kedudukan sebelumnya sebagai pusat kajian Al-Quran.Pada 1961,Syaltut mengeluarkan undang-undang baru (nombor 103) tentang pembaharuan Al-Azhar,terutama dari segi organisasi dan kokurikulumnya.Hal ini juga berkaitan dengan penubuhan fakulti baru (pertanian,kejuruteraan dan perubatan) untuk melengkapi fakulti yang sedia ada seperti syariah,usuluddin dan sastera.Melalui usaha ini,beliau berhasrat melaksanakan cita-citanya untuk melahirkan ulama yang bukan sahaja menguasai ilmu agama tetapi juga ilmu perubatan,matematik dan sebagainya.

     Inilah dia ulama pewaris Nabi yang perlu kita contohi.Inilah ulama yang membawa Islam yang Syumul.Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah.................

No comments:

Post a Comment