Saturday, November 16, 2013

Cinta...

     Benarlah belaka ungkapan guruku yang mulia,Dr.Asri namanya,walaupun kita tidak pernah bersua namun ceramahnya ku perolehi hikmah:

     Hidup berdiri di atas cinta.

     Jika diukir dengan segala bahasa,
     cinta itu masih tiada sastera buatnya.
     Jika dilukis dengan segala warna,
     Cinta itu masih tiada citra baginya.

     Tidakkah kerana cintakan TUHAN,
     insan berkorban dan terkorban?
     Tanpa cinta lenyaplah agama.

     Tidakkah kerana cintakan anak,
     ibu lupakan segala kehendak?
     Tanpa cinta pupuslah manusia.

     Tidakkah kerana cintakan kekasih,
     insan sanggup hidup tersisih?
     Tanpa cinta muramlah suasana.

     Tidakkah kerana cintakan negara,
     rakyat sanggup hidup sengsara?
     Tanpa cinta hapuslah warga.

     Dari akar mekar rasa cinta,
     lahirlah jiwa mesra dan manja.
     Dari akar mekar rasa cinta,
     bahagia dan sengsara menjelma.
     Dari akar mekar rasa cinta,
     munculnya tawa dan air mata.

     Cinta itu makhluk TUHAN,
     penuh keajaiban,
     penuh kehairanan,
     penuh kenikmatan,
     penuh kesakitan,
     penuh kesyahduan,
     penuh keharmonian,
     namun cinta tetap keperluan.

     Tanpa cinta pincanglah alam...

     (Penawar Duka,Pengubat Sengsara)

     Itulah di antara ungkapan yang pernah saya baca di dalam sebuah buku yang berjudul,"Penawar Duka,Pengubat Sengsara",yang ditulis oleh seorang pakar hadith Malaysia,Dr.Asri atau yang selalu juga diberi julukan sebagai Dr.Maza.Beliau merupakan seorang yang tidak dangkal ilmunya,setabil ilmunya  tentang ukhrawi dan duniawi sekaligus.Semoga ALLAH S.W.T sentiasa merahmatinya.

     Cinta...jika hendak dibicarakan,tidak cukup hanya dengan pena ataupun tinta.Ia adalah suatu perakara yang tidak dapat difahami sepenuhnya melainkan setelah kita merasainya.Jika ia diletakkan di tempat yang benar,maka hati kita akan terasa sesuatu yang berbeza.Apabila ia berada di tempat yang benar,ketahuilah bahawa semua yang dilakukan pastilah dengan rasa ikhlas dan tawaduk.Kerana apa ia jadi begitu?Kerana sesuatu yang benar itu wajiblah bertunjangkan agama.Setelah manusia menjadikan agama sebagai landasan, ALLAH akan turunkan sakinah ke dalam hati sang pemilik cinta.

     Cinta tidaklah salah,bukankah begitu hakikat sebenarnya?Tanpa cinta,Nabi kita Muhammad S.A.W tentulah tidak akan berdakwah.Baginda S.A.W berdakwah kerana cintakan agama ALLAH tersebar,bukankah begitu realitinya?Oleh itu apa salahnya kita bercinta.Walaupun cinta itu keperluan,namun banyak rintangan yang akan kita harungi ketika merasai nikmat cinta itu.

     Antara rintangannya adalah,kita tersalah meletakkan cinta itu di atas dasar yang benar.Contohnya,kita meletakkan cinta itu di atas dasar hawa nafsu,maka tidak akan tenteramlah kehidupan kita sehari-hari.Mungkin pada zaman arus globalisasi ini,orang kata,"mana ada begitu,kawan baik saya bercinta bukannya di atas dasar agama tetapi saya lihat dia hidup senang sahaja".Kita boleh jawab begini,"sebenarnya tidak begitu,mungkin dia hidup senang tetapi belum pasti dia hidup di dalam keadaan tenang.Tenang tidak pernah sesekali sama dengan senang.Berapa ramai orang yang hidup dalam keadaan kaya raya,tidur di atas tilam yang empuk tetapi tidurnya tidak lena dan nyenyak sepertimana tidurnya seorang fakir yang hanya tidur di atas tilam yang tidak empuk.Itulah bezanya tenang dan senang".

     Cinta itu sendiri merupakan di antara tanda kebesaran ALLAH.Lihatlah apa yang ALLAH firmankan di dalam surah Al-Rum pada ayat 21 yang bermaksud,"Dan di antara tanda-tanda(kebesaran-Nya) ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untuk kalian daripada diri kalian agar kalian cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan mejadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.Sungguh,pada yang demikian terdapat tanda-tanda(kebesaran ALLAH) bagi kaum yang berfikir".ALLAH sifatkan cinta di situ sebagai kasih dan sayang.Jika ditelitit melalui kacamata realiti sekalipun,perkataan 'kasih' itu sendiri tidak akan sesekali lengkap tanpa perkataan 'sayang'.Lihatlah kebesaran ALLAH,buktinya sangat jelas di dalam ayat Al-Quran tersebut.

     Gunakan cinta itu sebagai satu wasilah untuk kita berdakwah dan mempraktikkan Islam secara optimum.Bagaimana caranya?Cintailah agama ALLAH.Jika kita cintakan agama ALLAH,semua perkara perlulah kita lakukan bertunjangkan AL-Quran dan Al-Sunnah maka dengan itu tentulah selamat pekerjaan kita dunia dan akhirat.Telah bersabda Rasulullah S.A.W pada satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam Al-Muwatta' yang bermaksud,"Telah aku(Rasulullah) tinggalkan kepada kamu semua dua perkara,kamu semua tidak akan tersesat buat selama-lamanya selagi mana kamu semua masih teguh berpegang kepada keduanya,iaitu kitab ALLAH dan sunnahku".Hadith yang seperti ini banyak direkodkankan oleh para imam hadith yang lain seperti Al-Hakim dan lain-lain.Lihatlah jaminan Rasulullah,apabila ia merupakan jaminan Rasulullah sudah pastilah ia benar seratus peratus.

     Cinta ini juga merupakan pelengkap keimanan.Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud,"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai  saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri".Hadith ini telah diriwayatkan oleh Al-Tirmizi dan lain-lain.Hadith ini dinilai sahih oleh ramai para ulama hadith.Selain itu,Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud,"Maka demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya,tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku(Rasulullah) dicintainya lebih daripada orang tuanya dan anaknya."Hadith ini telah direkodkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam kitab hadithnya yang ulung,Sahih Al-Bukhari.

     Jika kita mencintai seseorang,itu tidaklah menjadi salah pada ajaran Islam.Cuma,yang menjadikan ia salah ialah cara kita memanifestasikan cinta tersebut.Jika kita mencintai seseorang,janganlah mencintainya melainkan kerana ALLAH semata-mata.Kerana dengan itu,kita akan menjaga batasan-batasan cinta mengikut hukum ALLAH.Jika kita tidak menjaga batasan-batasan cinta tersebut,maka jelaslah bahawa cinta kita tidaklah kerana ALLAH.Diriwayatkan daripada Anas bin Malik daripada Nabi S.A.W,baginda bersabda,"Tiga perkara apabila ada pada diri seseorang ia akan mendapatkan kemanisan iman:Dijadikannya ALLAH dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya.Jika ia mencintai seseorang,dia tidak mencintainya kecuali kerana ALLAH.Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci dilempar ke neraka."Hadith ini direkodkan oleh Imam Al-Bukhari.

       Jelaslah bahawa di dalam hadith tersebut,cinta sangat penting.Tetapi,yang paling utama adalah cinta Ilahi iaitu cinta ALLAH.Apabila kita berhasil untuk memperolehi ketiga-tiga perkara di atas maka kita sudah tentu akan merasakan kemanisan iman,itu janji Rasulullah S.A.W.Apabila kita berbicara mengenai kemanisan iman,ia adalah sesuatu yang perlu dirasai bukan diketahui.Sesiapa yang tidak pernah merasai,pasti  dia tidak akan memahami maksudnya yang sebenar.Perkataan 'manis' itu sendiri jika kita perasan,bunyinya sendiri sudah manis.Cuba kita gantikan perakataan 'manis' itu dengan perkataan 'pahit'.Adakah ia sesuai?Bunyinya sendiri sudah kita rasa pahit.Jika kemanisan iman merasuk jiwa insan,segala larangan ALLAH akan menjadi pedih dan pahit buatnya manakala segala suruhan ALLAH menjadi manis dan selesa buatnya.Inilah sedikit tentang maksud cinta yang dapat ku coretkan dan ceritakan pada kalam ini.

Tuesday, August 6, 2013

Cerpen:Keinsafan

     Malam sudah merangkak tiba.Malam yang masih muda bagaikan malam-malam yang telah lalu,di dada langit yang luas kelihatan kerlipan bintang-bintang.Bukan itu saja sang rembulan sakan tersenyum di balik awan yang memutih.Sinaran bintang dan bulan menambahkan lagi seri dan keindahan kota kosmo politan itu.

     Syahirah masih tercegat di jendela.Daun jendela rumah sewanya itu dibuka seluas-luasnya.Angin malam yang dingin menampar mukanya yang masih jelita itu.Dia memberikan saja angin malam itu menelus masuk kedalam rumah.Sedikit sebanyak badannya terasa dingin dan segar.Dia teringat kalau di kampung dulu seudah tentu lebih nyaman dan tenteram lagi,bukan sahaja bayu laut meniup lembut tetapi suasana kampung amat berbeza sekali dari kota yang serba sibuk itu.

     Syahirah melemparkan pandangannya ke sebatang jalan raya di hadapannya.Kenderaan berbagai bentuk masih lagi bertali arus.Hon-hon kenderaan yang seringkali menjerit itu kadangkala amat dibencinya kerana bukan saja membingitkan pendengaran tetapi tidak sedikit pun memberikan ketenteraman dalam diri.Tetapi sudah hampir setahun dia berada di kota Kuala Lumpur itu baginya sudah menjadi suatu kebiasaan,melihat tingkah laku manusia yang berbagai bangsa dan agama menjalani hidup dengan berbagai gaya dan cara.Tidak seperti di kampung,orang-orang kampung tidak sesibuk orang di kota.Orang di kampung lebih utamakan hidup berjiran dan jauh sekali daripada bunuh-membunuh serta berkelahi antara satu sama lain.Sudah lama dia tik pulang ke kampung tetapi otak kepalanya masih kukuh segala suasana dan keadaan dan kampungnya yang terletak beratus batu dari Kuala Lumpur.

     Tiba-tiba dia disergah oleh rakan sebiliknya,Milah yang menguntum senyum padanya.Milah sudah berpakaian cantik,bau badan Milah pun harum.Wajah Milah sudah semakin jelita.Pipinya dibedakkan dan disapukan  dengan sedikit alat solek yang membuatkan pipinya kemerah-merahan.Bibir Milah digincu kemas dan menambahkan lagi seri wajahnya yang jelita itu.

     "Betul-betul kau dah buat keputusan Sya?",tanya Milah setelah melabuhkan punggungnya di atas kusyen yang masih baru itu.Syahirah meninggalkan jendela lalu duduk berhadapan dengan Milah,soalan Milah tidak dijawapnya lagi.Dia melihat saja Milah sedang membetul-betulkan baju kebaya yang bahagian kainnya membelah hingga ke paras paha.Milah duduk berselempang kaki lalu ternampaklah pahanya yang gebu dan putih itu.

     "Ayuh kenapa ni diam aja,aku tanya tadi keputusan kau siang tadi betul ke atau kau bersenda saja?",soal Milah lagi.Syahirah mengeluh.Milah tidak tahu apa yang dikeluhkan rakannya itu."Kau fikir dulu Sya,kalau kau berhenti kau nak kerja apa di kota ini?Kau cuma lulus darjah enam,apa yang kau boleh buat?Orang yang lulus SPM dan STPM itu bersepah di Kuala Lumpur ni",ujar Milah tegas sambil matanya tepat ke wajah Syahirah yang masih duduk membisu seribu bahasa.

     "Aku dah fikir".

     "Fikir apa?".

     "Apa yang aku cakapkan siang tadi.Aku mahu berhenti.Aku tidak mahu terus hidup begini",kata Syahirah sambil membetulkan rambutnya yang jatuh menutup matanya.

     "Kan kerja ini kau juga yang mahu dulu kenapa tiba-tiba sahaja kau mahu berhenti?Tak sampai satu jam kita boleh dapat hampir RM600",tegas Milah lagi.

     "Wang ringgit tidak memberi apa-apa Milah,aku tidak mendapat ketengan jiwa.Dulu aku tidak tahu tapi sekarang sudah banyak yang aku tahu.Kerja kita ni salah.Agama kita melarangnya,Tuhan mengutuk diri kita.Hidup dengan bermandikan wang ringgit yang dapat daripada jualan tubuh badan adalah haram dan dan ditegah oleh Islam",Syahirah bersuara dengan petah.

     Milah agak kaget dengan kata-kata rakannya itu.Selama ini Syahirah tidak pernah mengutarakan pasal agama dan nama Tuhan.Tapi kini Syahirah sudah berubah,siapa yang merubahkan dirinya!!!"Sya kenapa kau kenapa kau baru sedar yang kerja kita ini terkutuk.Siapa yang menyedarkan diri kau?",tanya Milah kaget.

     "Aku sendiri yang sedar.Tiada siapa pun yang menyedarkan sikap aku.Dulu aku masih mentah dalam selok-belok hidup ini.Rupa-rupanya ia penuh dengan duri dan ranjau yang pahit untuk ditelan."

     "Sudah terlambat Sya,diri kau sudah kotor.Diri kau bukan gadis lagi.Orang di kota ini sudah kenak engkau,perempuan yang mempunyai potongan badan yang seksi.Kalau kau berhenti,kau tidak boleh elakkan muka daripada pandangan orang.Orang sudah kenal kau sebagai perempuan bar kelas satu",ujar Milah dengan berani.Syahirah tidak sedikit pun terasa akan segala kata Milah,semuanya betul.Lelaki mana yang tidak mengenal dirinya?Setiap lelaki tidak kira apa bangsa sudah puas mengecapi nikmat daripada mengusap dan menggomol tubuhnya itu.Sesungguhnya perasaan malu kepada masyarakat sekeliling membara di hatinya.Tapi kini dia sudah sedar,dia lebih malu kepada Tuhan yang Esa.Tuhan menyaksikan segala perbuatannya yang terkutuk itu.

     "Aku lebih malu kepada Tuhan,Milah.Tuhan itu Maha Kaya,Dia menentukan segala-galanya.Mungkin aku sedar sekarang kerana sudah takdirNya sejak azali lagi.Aku tidak mahu menjadi umat Islam yang sesat,aku tidak mahu mati aku nanti tidak diterima di sisiNya",ujar Syahirah berani.Milah membeliakkan mata kerana perkataan sesat itu menyentuh hati dan perasaannya yang mulai gelora itu.

     "Jadi kau tuduh aku orang yang sesat,begitu ya Sya?Aku bekerja ini keran terpaksa.Aku seperti kau juga,belajar cuma setakat darjah enam sahaja.Ibu bapa aku tidak sukakan aku,mereka usir aku dari rumah.Mereka kata aku ini anak tidak mengenal untung,anak yang degil dan berkepala batu.Aku sedih dengan cemuhan melulu mereka itu.Aku ada hati,ada perasaan,sepatutnya mereka mendidik aku ke jalan yang lurus.Tapi...aku dibiarkan.Diri aku bagaikan bukan anak mereka.Tapi,adik-beradikku yang lain diberikan kasih sayang yang secukupnya.Mereka semua dimanjakan tapi,aku dibuatkan bagai anak tiri.Aku menerjunkan diri dalam kerja hina ini bukanlah dengan kerelaan hatiku tapi sudah terdesak.Aku terpaksa Sya,aku tahu kerja ini salah",ujar Milah dengan suara yang tersekat-sekat.Air matanya hampir jatuh di pipi.

     Sedih juga hati Syahirah apabila mendengar cerita sebenar perihal rakannya itu.Kini,barulah dia tahu bahawa Milah senasib dengannya.Dia juga begitu.Setelah kematian ibu kandungnya,ayahnya kahwin lagi.Dia berharap benar ibu tirinya itu akan dapat memberikan kasih sayang seperti ibu kandungnya dahulu.Tetapi sangkaannya meleset samasekali,ibu tirinya cuma mahukan harta ayahnya sahaja dan adiknya yang dua orang lagi diseksa setiap hari.Kalau di hadapan ayah,ibu tirinya itu bersikap lain.Dia dan adik-adiknya diberi kemanjaan dan kasih sayang sebagai seorang ibu tetapi apabila di belakang ayah,dia akan bersikap lain.Inilah yang meruntuhkan hatinya.Lantas dia mengikutkan langkah kakinya hidup di kota Kuala Lumpur yang penghuninya sebilangan besar mengejar harta dunia dan hiburan semata-mata.Nasib dia baik,dia telah berjumpa denga Milah di stesen kereta api.

     Pada mulanya mereka berdua bekerja di salah sebuah kilang elektronik.Tetapi cuma sebulan sahaja kerana sikap pengurus kilang itu mereka berdua berhenti.Pengurus itu mahukan mereka berdu memakai pakaian yang mendedahkan tubuh badan.Tetapi,tatkala itu mereka masih kuat mempertahankan maruah diri lantas dengan jalan berhenti sahaja yang membolehkan mereka berdua terlepas daripada cengkaman manusia dibenci mereka itu.

     Lantas pada suatu hari,mereka berdua bertemu dengan Puan Lim.Puan Lim berjanji memberikan mereka berdua kerja yang mendatangkan wang yang banyak.Suatu malam mereka berdua dibawa oleh Puan Lim ke sebuah bangunan,mereka dibawa ke tingkat enam.Setiba sahaja di dalam bilik,mereka terus berkenalan dengan beberapa orang lelaki,seorang berbangsa melayu dan dua orang lagi berbangsa cina.Rupa-rupanya mereka berdua ditipu.Selepas meneguk air yang dikatakan air sirap itu,mereka berdua tidak sedarkan diri.Sedar-sedar mereka berdua sudah di atas katil dalam keadaan telanjang bogel.Syahirah tidak dapat melupakan saat itu hingga kini masih kental dalam otak kepalanya.Sejak hari itu dirinya sudah tidak suci lagi.Kemahkotaan dirinya yang dijaga sudah diragut oleh lelaki bernafsu Iblis,apakan daya...nasi sudah menjadi bubur.Lantas sejak hari itulah,mereka tercebur dalam kancah kehinaan dan bekerja di bar atas paksaan Puan Lim.

     "Maafkan aku Milah,bukan aku sengaja untuk menyakitkan hati engkau",ujar Syahirah yang dari tadi asyik melayang fikirannya yang berserabut itu.

     "Hidup kita sudah jauh daripada matlamat asal Milah.Kita telah memasuki persimpangan yang penuh kenodaan.Kita telah terlupa pada agama kita.Islam amat mencemuh akan umat-umatnya yang bertindak secara melulu dan mengikut hawa nafsu".

     "Tapi kita dianiaya oleh perempuan celaka tu!Dialah yang membuatkan diri kita sampai menjadi begini.Kita telah lupakan Tuhan.Kita telah lupakan ajaran agama kita.Kita telah deperkuda oleh Puan Lim",ujar Milah seakan sedar kedudukan dirinya kini.Hatinya mulai berbelah-bahagi.Hatinya semakin merusuh.Tiba-tiba sahaja sikapnya mulai berubah.Bilamana Tuhan disebut Syahirah pada awal perbualan tadi,seluruh perasaan dalam dirinya mulai kecut dan takut.

     Mungkin salah kita juga Milah".

     Salah bagaimana? Kita terpaksa malakukan kerja terkutuk itu,dia ugut kita.Kalau kita tak ikut cakap dia,maruah diri kita akan disebarkan pada orang lain.Kau pun tahukan dia itu ibu ayam.Siapa tak kenal dia,setiap lelaki yang inginkan perempuan datang kepadanya".

     "Kita patut bertindak lebih awal dulu,tapi...",Syahirah terhenti bersuara.Dia mengeluh.Milah mengeluh sama.

     "Tapi kita serba salah bagaimana ditelan mati emak diluah mati bapa",sambung Syahirah sambil membetulkan duduknya.

     "Sudah seminggu lebih aku memikirkan diri kita berdua.Tapi,baru siang tadi aku suarakan pada kau tentang niat aku untuk berhenti daripada menjadi perempuan sampah masyarakat.Aku tak sanggup menanggung dosa bila mati kelak.Aku ingin mendekatkan diriku padaNya,Tuhan semesta alam".Milah menundukkan mukanya memandang lantai simen yang terkopek.Segala cakap Syahirah bagai menghentam gegendang telingannya.Di ruang matanya terbayang berbagai peristiwa pahit yang dijalani selama dia hidup 25 tahun lalu.Dalam detik itu juga hatinya bagai terbisik sesuatu.Insaflah dan tinggalkan kerja hina ini!Fikirannya bercelaru.Perasaannya berbelah bahagi.

     Tiba-tiba azan bergema dari muncung radio.ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR!Tersentak hati Syahirah dan Milah.Tiba-tiba jua hati mereka terus mengingati ALLAH,tuhan  yang Maha Pengasih.Tanpa disedari,Milah menitiskan air matanya.Melihatkan Milah,seluruh perasaan Syahirah seakan menggigil dan meronta-ronta untuk dibaja dengan semangat baru.Esakkan Milah semakin menjadi.Lantas Syahirah tidak dapat mengawal perasaannya,dia turut menitiskan air mata jernih jatuh membasahi pipinya yang masih tegang itu.

     Milah berlari masuk ke dalam bilik.Dia merebahkan dirinya di atas tilam yang empuk.Dia menangis sambil menekupkan muka dengan bantal.Syahirah kembali ke jendela yang masih ternganga luas itu.Bayu malam yang datang dari arah bukit yang jauh itu menampar-nampar mukanya.Dia melemparkan pandangan ke atas lalu ternampak bulan yang seakan tersenyum padanya.Bintang-bintang berkelipan bagaikan ada temasya di atas langit.Sungguh indah ciptaan Tuhan,tiada dapat dikatakan.

     Tiba-tiba,bahunya ditepuk dari belakang.Dia menoleh dan dilihatnya Milah sudah bertukar pakaian.

     "Apa kau tidak pergi kerja?".Milah menggelengkan kepala.

     "Aku sedar sekarang,aku insaf.Mari kita mengadap Tuhan",kata Milah sambil menguntum senyuman bermakna.

     Selepas tamat bersembahyang Isyak,Syahirah terus mengangkatkan kedua belah tangannya dan terus berdoa ke hadrat Ilahi.

     "Ya ALLAH ya Tuhanku,ampunilah dosa hambaMu ini.Kau tunjukkanlah aku jalan yang benar.Kau berikanlah keampunan terhadap dosa-dosaku selama ini.Aku beertaubat kepadaMu ya ALLAH,Kau berikanlah aku cahaya hidup baru dan Kau lindungilah aku daripada buruan Iblis terkutuk.Demi kebesaranMu aku menyerahkan diri ini dengan sejujur hati dan Kau bukalah pintu taubat untuk hambaMu yang hina ini...",dalam berdoa itu air mata Syahirah turut jatuh ke pipinya.

     Milah di sisi Syahirah turut berdoa kepada Ilahi.Air matanya turut tumpah menandakan kesesalan hatinya terhadap perbuatannya yang telah dilakukan dan tanda kesyukuran kepadaNya,Tuhan yang Maha Pengampun.

     Selesai sahaja mereka berdoa,mereka bersalaman dan memeluk antara satu sama lain.

     "Terima kasih Sya,kerana kaulah aku sujud ke hadratnya".

     "Bukan apa Milah,tapi padaNya yang mana telah membuka hati kita untuk bertaubat".Merekea berdua menguntum senyuman panjang.Fikiran mereka lapang tiba-tiba.Sungguhnya Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.Di luar,malam semakin merangkak tua dan di dada langit bintang masih berkelipan dan sang rembulan seakan tersenyum di balik awan.

Sunday, August 4, 2013

Menuntut ilmu...

     Bermula menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap orang Islam kerana bersandarkan pada sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud,"Menuntut ilmu adalah fardhu (wajib) ke atas setiap muslim".Dikatakan oleh beberapa ulama hadith bahawa hadith ini sahih.Maka,berdasarkan hadith ini,para ulama menyatakan bahawa setiap muslim wajib menuntut ilmu akan tetapi terdapat beberapa rukhsah di dalam menuntut ilmu bagi sesetengah orang.Misal kata bagi seorang yang sakit,seperti tidak boleh berjalan,tidak mampu melihat dan lain-lainnya maka ada keguguran hukum wajib itu ke atasnya mengikut pendapat sesetengah ulama.

     Ilmu itu pada bahasa arab dan pada bahasa melayunya adalah pengetahuan.Pengenalan ilmu itu pada definisi ada banyak dan diertikan oleh Syeikh Zubaidi sehingga lima belas pengenalan.Dan yang terlebih elok di antaranya adalah ilmu itu ialah apa yang boleh membuatkan kita terbuka terhadap sesuatu.Ilmu itu ada dua jenis.Satu,dikenali sebagai ilmu fardhu ain dan yang satu lagi dipanggil sebagai ilmu fardhu kifayah.Fardhu ain itu ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap mukalaf yang muslim  dengan barang yang sekadar perlu dan wajib seperti rukun solat,rukun puasa dan barang yan lainnya.Fardhu kifayah itu pula ialah ilmu yang tidak wajib untuk dipelajari oleh setiap muslim tetapi cukuplah sebahagian sahaja  yang mempelajarinya seperti sains,matematik dan barang yang lainnya.Sesiapa yang mendapat ilmu maka amatlah beruntung.

     Ilmu itu ada banyak manfaat apabila kita memperolehinya.Terutamanya jika kita dapat ilmu tentang agama serta dapat memahaminya kerana Nabi S.A.W pernah bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud,"Sesiapa yang kehendaki dengannnya kebaikan,Dia akan memahamkan orang tersebut terhadap agama".Dan lagi adalah satu kelebihan bagi seorang yang berilmu kerana mereka mengetahui dan kerana firman ALLAH di dalam Al-Quran yang bermaksud,"Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tiada mengetahui".Maka bagi kita jawabnya tentulah tiada bersamaan kerana apabila orang yang mengetahui lakukan sesuatu secara cermat maka pastilah dapat faedah dan jadi betul manakala orang yang tiada mengetahui lakukan sesuatu secara merambang oleh itu pastilah jadi salah dan rugi.

     Sesiapa yang berilmu,kedudukannya akan lebih tinggi berbanding orang yang tiada ilmu kerana firman ALLAH di dalam Al-Quran yang bermaksud,"ALLAH mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang deberi ilmu kepada beberapa darjat".Tetapi ketahuilah hai saudara bahawasanya orang yang kafir tetapi berilmu itu belumlah ia benar-benar berilmu kerana firman ALLAH di dalam Al-Quran yang bermaksud,"Sesungguhnya yang takut kepada ALLAH daripada hambaNya adalah orang-orang yang berilmu".

     Ketahuilah wahai saudara-saudari,jika engkau berkehendak kepada dunia maka hendaklah engkau berilmu dan jika engkau berkehendak kepada akhirat juga hendaklah ke atasmu ada ilmu.Nabi S.A.W pernah bersabda dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh sebahagian Imam hadith yang bermaksud,"Sesiapa yang berkehendak kepada dunia,maka ke atas dirinya dengan ilmu dan sesiapa yang berkehendak kepada akhirat,maka ke atas dirinya dengan ilmu dan barangsiapa yang berkehendak kepada kedua-duanya sekali,maka ke atas dirinya dengan ilmu".

        Dan ada juga suatu hadith yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari yang bermaksud,"Diriwayatkan daripada Abu Musa daripada Nabi S.A.W bersabda,"Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang ALLAH mengutus aku dengannya adalah seperti hujan yang lebat yang turun mengenai tanah,di antara tanah itu ada jenis yang dapat menyerap air sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak.Dan di antaranya ada tanah yang keras lalu menahan air (tergenang) sehingga dapat diminum oleh manusia,memberi minum haiwan ternakan dan untuk menyiram tanaman.Dan lain ada permukaan tanah yang berbentuk lembah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman.Perumpamaan itu adalah seperti orang yang faham agama ALLAH dan dapat memanfaatkannya apa yang aku diutus dengannnya,dia mempelajarinya dan mengajarkannya,dan juga perumpamaan orang yang tidak dapat mengangkat darjat dengannya dan tidak menerima hidayah ALLAH dengan apa yang aku diutus dengannya".

     Wahai saudara-saudari,setelah engkau mendapat ilmu daripada Al-Quran atau selainnya maka janganlah engkau sombong terhadap manusia kerana firman ALLAH di dalam Al-Quran pada surah Luqman ayat 8 yang bermaksud,"Dan janganlah engkau memalingkan wajahmu daripada manusia dan berjalan di bumi dengan sombong.Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai setiap orang yang sombong (lagi) berbangga diri".Oleh itu,jika engkau sombong ketahuilah bahawa engkau tidak disukai oleh ALLAH,Tuhan kita pada ketika itu.Hendaklah engkau menjadi seperti pohon kurma,kerana ia sentiasa menundukkan daun-daunnya ketika walaupun ia semakin meninggi.
   
     Dan kerana ada sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud,"Diriwayatkan daripada Abdullah bin Dinar daripada Ibnu Umar berkata,"Rasulullah S.A.W bersabda,Sesungguhnya di antara pohon ada satu pohon yang tidak jatuh daunnya,dan itu adalah perumpamaan bagi seorang muslim maka khabarkanlah kepadaku,pohon apakah itu?.Para sahabat beranggapan bahawa yang dimaksudkan adalah pohon yang berada di lembah.Abdullah (Ibnu Umar) berkata,"Aku berfikir dalam hati bahawa pohon itu adalah pohon kurma,tetapi aku malu mengungkapkannya.Kemudian para sahabat berkata,"Beritahulah kami apakah pohon itu wahai Rasulullah?" Nabi S.A.W berkata,"Ia adalah pohon kurma"."

     Dan yang tersangat penting adalah untuk kalian amalkan apa yang telah dipelajari dan difahami oleh kalian kerana sesungguhnya bani Israel dahulu telah disamakan seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal dan juga seperti anjing.Firman ALLAH di dalam Al-Quran pada surah Al-A'raf yang bermaksud,"Dan bacakanlah kepada mereka kisah orang yang kami turunkan kepada mereka ayat-ayat kami maka dia melepaskan dirinya daripada ayat-ayat itu maka dia diiringi syaitan maka adalah dia daripada golongan yang sesat.Dan jika kami mahu,kami akan mengankatnya dengannya (ayat-ayat ALLAH) tetapi dia lebih cenderung kepada dunia dan mengikut hawa nafsunya.Maka perumpamaan dia sama seperti anjing,jika engkau menghalaunya ia akan menjelirkan lidahnya atau kau biarkannya,dia tetap menjelirkan lidahnya.Maka bacakanlah kisah-kisah itu moga-moga mereka berfikir.Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat kami....",sehingga akhir ayat.

     Oleh itu wahai saudara-saudari,kita sebagai orang yang mempelajari sunnah,patutlah untuk kita amalkan sunnah-sunnah Nabi S.A.W.Dan hendaklah kalian menjadikan Al-Quran dan Hadith sebagai dasar kalian menuntu ilmu.

Saturday, July 13, 2013

Hadith:Tidak boleh berdengki

     Telah berabda Rasulullah S.A.W:"Tidak boleh berdengki kecuali pada dua perkara.(1)Seseorang yang diberikan oleh ALLAH harta benda lalu ia membelanjakannya pada jalan yang benar.(2)Dan seseorang yang diberikan oleh ALLAH ilmu pengetahuan lalu ia menggunakan untuk hidupnya dan mengajar orang lain.(Riwayat Bukhari)

Keterangan hadtih:

     Agama Islam melarang berdengki kepada orang lain,sebab dengan berdengki akan menimbulkan pergaduhan dan perbalahan antara anggota masyarakat serta memutuskan tali persaudaraan sesama agama.

     Berdengki ialah satu perasaan tidak senang hati melihat kesenangan dan kekayaan orang lain serta ia berusaha untuk menghapuskan kekayaan dan menghilangkan kesenangan orang lain.

     Salah satu sifat yang baik dan berlawanan dengan sifat dengki ialah 'ghibtah' iaitu satu perasaan untuk mendapatkan kesenangan dan kekayaan seperti orang lain juga dan ia tidak ada niat untuk menghilangkan kekayaan dan kesenangan yang ada pada orang lain.

     Sifat ini digalakkan di dalam Islam kerana boleh melahirkan dan menghasilkan kebaikan dan kemajuan bagi seseorang itu.

    Dalam hadith yang disebutkan di atas,seseorang Islam itu boleh bersifat ghibtah  terhadap dua perkara iaitu seseorang yang diberikan oleh ALLAH harta benda lalu ia membelanjakannya pada jalan yang benar dan seseorang yang diberikan oleh ALLAH ilmu pengetahuan lalu ia menggunakan untuk hidupnya dan mengajar orang lain.

     Dengan itu setiap orang Islam hendaklah menjauhkan diri daripada bersifat dengki-mendengki tetapi hendaklah ada sifat ghibtah itu supaya dapat hidup dengan aman dan damai di dunia dan di akhirat.

Hukum-hukum syara'

1.Wajib:

lah dikira sah.     Perkara yang mesti dilakukan.Jika dilakukan dapat pahala dan jika ditinggalkan berdosa.Contohnya seperti solat lima waktu,puasa bulan Ramadhan dan lain-lain.

2.Haram:

     Perkara yang mesti ditinggalkan (tidak boleh sekali-kali dilakukan).Jika dilakukan berdosa dan jika ditinggalkan berpahala.Contohnya seperti meminum minuman keras,membunuh seseorang secara sengaja dan lain-lain.

3.Sunat:

     Perkara yang tidak mesti dilakukan tetapi melakukannya adalah lebih baik.Contohnya seperti solat sunat,puasa enam hari selepas raya Aidilfitri dan lain-lain.

4.Makruh:

     Perkara yang tidak mesti ditinggalkan tetapi ditingglakan adalah lebih baik.Jika dilakukan tidak berdosa dan jika ditingglkan berpahala.Contohnya seperti memakan makanan busuk seperti petai,jering dan lain-lain.

5.Harus:

     Perkara yang boleh dilakukan dan boleh ditinggalkan.Jika dilakukan tidak berpahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa.Contohnya seperti tidur,makan,minum dan lain-lain yang dilakukan dengan sengaja.

6.Sah:

     Perbuatan-perbuatan yang diterima oleh syara' (agama) iaitu perkara-perkara yang kita lakukan dengan mengikut syarat-syarat yang ditentukan adalah dikira sah.

7.Batal:

     Perkara yang dikira sudah rosak dan tidak boleh dipakai lagi kerana berlaku perkara-perkara yang ditegah oleh agama ke atasnya.

Hadith:Jangan benci-membenci

     Rasulullah S.A.W bersabda:"Janganlah kamu benci-membenci,dengki-mendengki dan bermasam-masam muka.Hendaklah kamu menjadi hamba ALLAH yang bersaudara.Tidak boleh sama sekali bagi seorang Islam meninggalkan saudaranya (kerana marah) lebih daripada 3 hari."(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan hadith:

     Benci-membenci adalah sala satu sifat keji yang perlu dijauhi oleh orang-orang Islam.Dengan membenci antara satu sama lain boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan di dalam masyarakat.Islam melarang hidup seperti itu,sebaliknya Islam menuntut supaya kita hidup berbaik-baik dan berkasih sayang satu sama lain.

     Dengki juga tidak kurang buruknya daripada sifat benci-membenci ini.Sifat dengki ini akan merugikan diri sendiri dan juga masyarakat.Nabi pernah melarang sifat ini dan menuntut supaya kita menjauhinya.Dalam salah satu sabdanya:"Dengki itu memakan pahala-pahala kebajikan seperti mana api memakan kayu api."Jauhilah sifat dengki ini semoga hidup kita sentiasa berada di dalam keadaan aman dan damai.

     Umat Islam kesemuanya bersaudara.Oleh itu mestilah ada sifat ingin hidup berbaik-baik dan tolong-menolong antara satu sama lain.Sebarang perselisihan dan persengketaan mestilah diselesaikan dengan baik kerana sebarang permusuhan tidak boleh memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak pun.Malah,masing-masing menanggung keugian.Dengan kerana itu bertambahlah benci-membenci antara satu sama lain.Hal tersebut sangatlah dilarang oleh agama kita Islam yang harmoni ini.

     Perkelahian selalu berlakju di dalam masyarakat kita sehingga meninggalkan kesan-kesan yang negatif di dalam masyarakat seperti puak-puak yang taksub dengan kaum mereka sahaja.Cubalah elakkan perkelahian seberapa yang mampu.Kalau tidak berdaya mengelakkannya maka berbaik-baiklah semula sebelum memasuki hari ketiga perkelahian itu berlaku.

Pengajaran hadith:

1.Hendaklah kita hidup berbaik-baik dan berkasih sayang antara satu sama lain.
2.Dengki bukan sahaja merugikan hidup kita,malah mengurangkan pahala yang telah didapati.
3.Islam sangat melarang kita benci-membenci orang lain dan bermasam muka sesama kita.
4.Perkelahian yang berlaku antara kita mestilah diselesaikan dalam masa tiga hari.

Saturday, March 30, 2013

Kebersihan dalam Islam

     Islam amat menekankan kebersihan dan kesucian.Ia meliputi aspek zahir dan batin.Kebersihan zahir meliputi jasmani atau tubuh badan,pakaian,makanan dan minuman serta segala peralatan yang digunakan,rumahtangga,masjid,tempat kita bekerja dan alam persekitaran.Sementara kebersihan batin(dalaman) ialah merujuk kepada rohani kita,pemikiran,hati dan perasaan,yang mana kebersihan dalaman ini akan mempengaruhi perwatakan dan tingkahlaku kita seharian serta hasil kerja yang kita usahakan sama ada indah atau tidak,berkualiti atau sebaliknya.

     Banyak ayat Al-Quran dan Hadith yang mengarahkan supaya kita sentiasa mengambil berat tentang kebersihan zahir dan batin.Antaranya ialah:Firman ALLAH yang maksudnya,"Sesungguhnya ALLAH itu mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat(yakni membersihkan diri dari kekotoran dosa) dan DIA mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka(dari sebarang kekotoran najis dan hadas)."(surah Al-Baqarah ayat 222).

     Firman ALLAH lagi yang maksudnya,"Dan tidaklah mereka diperintah melainkan beribadah kepada ALLAH dengan keadaan ikhlas beragama untuknya",surah Al-Bayyinah ayat 5.Ayat ini menerangkan mengenai ikhlas dalam beribadah iaitu salah satu daripada perkara batin(dalaman) kerana ikhlas itu tidak kelihatan.Firman-NYA lagi yang maksudnya,"Bersihkanlah pakaianmu dan jauhilah segala kekotoran",surah Al-Muddathir ayat 4-5.

     Rasulullah juga pernah bersabda yang maksudnya,"Kebersihan itu sebahagian daripada iman."(Riwayat Muslim).Dan banyak lagi dalil Al-Quran dan Hadith yang  mengarahkan kita supaya kita sentiasa mengambil berat tentang kebersihan zahir dan batin.

     Demikianlah dipaparkan sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran dan juga Hadith Rasulullah s.a.w yang menyentuh tentang kebersihan.Berdasarkan pernyataan di atas dapat kita rumuskan bahawa:1.Ummat Islam dikehendaki bersih aqidah mereka daripada syirik dan apa-apa yang boleh membawa kepada syirik hendaklah dijauhi kerana syirik sebesar-besar dosa yang tidak diampuni oleh ALLAH S.W.T.

    2.Dalam melakukan sesuatu ibadat,kita mestilah melakkukannya dengan hati yang benar-benar bersih dan ikhlas semata-mata kerana ALLAH.3.Kita mestilah menjaga kebersihan baik yang zahir mahupun yang batin.Demikianlah beberapa perkara yang diarahkan kepada kita untuk menjaganya.Banyak lagi Hadith dan ayat Al-Quran yang menunjukkan kepentingan kebersihan dalam Islam juga dalam kehidupan.

    Melalui aspek sains pula,banyak perkara yang ALLAH perintahkan itu mempunyai hikmah yang tersembunyi.Contohnya firman ALLAH yang bermaksud,"Bersihkanlah pakaianmu dan jauhilah segala kekotoran",surah Al-Muddathir ayat 4-5.Dalam ayat ini ALLAH menyuruh kita menjauhi segala kekotoran dan kita juga tahu bahawa di dalam kekotoran terdapat berbagai jenis kuman.Inilah di antara hikmahnya kita menjaga kebersihan.Selamat beramal(^_^)........