Sunday, August 4, 2013

Menuntut ilmu...

     Bermula menuntut ilmu itu adalah wajib bagi setiap orang Islam kerana bersandarkan pada sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud,"Menuntut ilmu adalah fardhu (wajib) ke atas setiap muslim".Dikatakan oleh beberapa ulama hadith bahawa hadith ini sahih.Maka,berdasarkan hadith ini,para ulama menyatakan bahawa setiap muslim wajib menuntut ilmu akan tetapi terdapat beberapa rukhsah di dalam menuntut ilmu bagi sesetengah orang.Misal kata bagi seorang yang sakit,seperti tidak boleh berjalan,tidak mampu melihat dan lain-lainnya maka ada keguguran hukum wajib itu ke atasnya mengikut pendapat sesetengah ulama.

     Ilmu itu pada bahasa arab dan pada bahasa melayunya adalah pengetahuan.Pengenalan ilmu itu pada definisi ada banyak dan diertikan oleh Syeikh Zubaidi sehingga lima belas pengenalan.Dan yang terlebih elok di antaranya adalah ilmu itu ialah apa yang boleh membuatkan kita terbuka terhadap sesuatu.Ilmu itu ada dua jenis.Satu,dikenali sebagai ilmu fardhu ain dan yang satu lagi dipanggil sebagai ilmu fardhu kifayah.Fardhu ain itu ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap mukalaf yang muslim  dengan barang yang sekadar perlu dan wajib seperti rukun solat,rukun puasa dan barang yan lainnya.Fardhu kifayah itu pula ialah ilmu yang tidak wajib untuk dipelajari oleh setiap muslim tetapi cukuplah sebahagian sahaja  yang mempelajarinya seperti sains,matematik dan barang yang lainnya.Sesiapa yang mendapat ilmu maka amatlah beruntung.

     Ilmu itu ada banyak manfaat apabila kita memperolehinya.Terutamanya jika kita dapat ilmu tentang agama serta dapat memahaminya kerana Nabi S.A.W pernah bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud,"Sesiapa yang kehendaki dengannnya kebaikan,Dia akan memahamkan orang tersebut terhadap agama".Dan lagi adalah satu kelebihan bagi seorang yang berilmu kerana mereka mengetahui dan kerana firman ALLAH di dalam Al-Quran yang bermaksud,"Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tiada mengetahui".Maka bagi kita jawabnya tentulah tiada bersamaan kerana apabila orang yang mengetahui lakukan sesuatu secara cermat maka pastilah dapat faedah dan jadi betul manakala orang yang tiada mengetahui lakukan sesuatu secara merambang oleh itu pastilah jadi salah dan rugi.

     Sesiapa yang berilmu,kedudukannya akan lebih tinggi berbanding orang yang tiada ilmu kerana firman ALLAH di dalam Al-Quran yang bermaksud,"ALLAH mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang deberi ilmu kepada beberapa darjat".Tetapi ketahuilah hai saudara bahawasanya orang yang kafir tetapi berilmu itu belumlah ia benar-benar berilmu kerana firman ALLAH di dalam Al-Quran yang bermaksud,"Sesungguhnya yang takut kepada ALLAH daripada hambaNya adalah orang-orang yang berilmu".

     Ketahuilah wahai saudara-saudari,jika engkau berkehendak kepada dunia maka hendaklah engkau berilmu dan jika engkau berkehendak kepada akhirat juga hendaklah ke atasmu ada ilmu.Nabi S.A.W pernah bersabda dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh sebahagian Imam hadith yang bermaksud,"Sesiapa yang berkehendak kepada dunia,maka ke atas dirinya dengan ilmu dan sesiapa yang berkehendak kepada akhirat,maka ke atas dirinya dengan ilmu dan barangsiapa yang berkehendak kepada kedua-duanya sekali,maka ke atas dirinya dengan ilmu".

        Dan ada juga suatu hadith yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari yang bermaksud,"Diriwayatkan daripada Abu Musa daripada Nabi S.A.W bersabda,"Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang ALLAH mengutus aku dengannya adalah seperti hujan yang lebat yang turun mengenai tanah,di antara tanah itu ada jenis yang dapat menyerap air sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak.Dan di antaranya ada tanah yang keras lalu menahan air (tergenang) sehingga dapat diminum oleh manusia,memberi minum haiwan ternakan dan untuk menyiram tanaman.Dan lain ada permukaan tanah yang berbentuk lembah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman.Perumpamaan itu adalah seperti orang yang faham agama ALLAH dan dapat memanfaatkannya apa yang aku diutus dengannnya,dia mempelajarinya dan mengajarkannya,dan juga perumpamaan orang yang tidak dapat mengangkat darjat dengannya dan tidak menerima hidayah ALLAH dengan apa yang aku diutus dengannya".

     Wahai saudara-saudari,setelah engkau mendapat ilmu daripada Al-Quran atau selainnya maka janganlah engkau sombong terhadap manusia kerana firman ALLAH di dalam Al-Quran pada surah Luqman ayat 8 yang bermaksud,"Dan janganlah engkau memalingkan wajahmu daripada manusia dan berjalan di bumi dengan sombong.Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai setiap orang yang sombong (lagi) berbangga diri".Oleh itu,jika engkau sombong ketahuilah bahawa engkau tidak disukai oleh ALLAH,Tuhan kita pada ketika itu.Hendaklah engkau menjadi seperti pohon kurma,kerana ia sentiasa menundukkan daun-daunnya ketika walaupun ia semakin meninggi.
   
     Dan kerana ada sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud,"Diriwayatkan daripada Abdullah bin Dinar daripada Ibnu Umar berkata,"Rasulullah S.A.W bersabda,Sesungguhnya di antara pohon ada satu pohon yang tidak jatuh daunnya,dan itu adalah perumpamaan bagi seorang muslim maka khabarkanlah kepadaku,pohon apakah itu?.Para sahabat beranggapan bahawa yang dimaksudkan adalah pohon yang berada di lembah.Abdullah (Ibnu Umar) berkata,"Aku berfikir dalam hati bahawa pohon itu adalah pohon kurma,tetapi aku malu mengungkapkannya.Kemudian para sahabat berkata,"Beritahulah kami apakah pohon itu wahai Rasulullah?" Nabi S.A.W berkata,"Ia adalah pohon kurma"."

     Dan yang tersangat penting adalah untuk kalian amalkan apa yang telah dipelajari dan difahami oleh kalian kerana sesungguhnya bani Israel dahulu telah disamakan seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal dan juga seperti anjing.Firman ALLAH di dalam Al-Quran pada surah Al-A'raf yang bermaksud,"Dan bacakanlah kepada mereka kisah orang yang kami turunkan kepada mereka ayat-ayat kami maka dia melepaskan dirinya daripada ayat-ayat itu maka dia diiringi syaitan maka adalah dia daripada golongan yang sesat.Dan jika kami mahu,kami akan mengankatnya dengannya (ayat-ayat ALLAH) tetapi dia lebih cenderung kepada dunia dan mengikut hawa nafsunya.Maka perumpamaan dia sama seperti anjing,jika engkau menghalaunya ia akan menjelirkan lidahnya atau kau biarkannya,dia tetap menjelirkan lidahnya.Maka bacakanlah kisah-kisah itu moga-moga mereka berfikir.Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat kami....",sehingga akhir ayat.

     Oleh itu wahai saudara-saudari,kita sebagai orang yang mempelajari sunnah,patutlah untuk kita amalkan sunnah-sunnah Nabi S.A.W.Dan hendaklah kalian menjadikan Al-Quran dan Hadith sebagai dasar kalian menuntu ilmu.

No comments:

Post a Comment