Tuesday, August 6, 2013

Cerpen:Keinsafan

     Malam sudah merangkak tiba.Malam yang masih muda bagaikan malam-malam yang telah lalu,di dada langit yang luas kelihatan kerlipan bintang-bintang.Bukan itu saja sang rembulan sakan tersenyum di balik awan yang memutih.Sinaran bintang dan bulan menambahkan lagi seri dan keindahan kota kosmo politan itu.

     Syahirah masih tercegat di jendela.Daun jendela rumah sewanya itu dibuka seluas-luasnya.Angin malam yang dingin menampar mukanya yang masih jelita itu.Dia memberikan saja angin malam itu menelus masuk kedalam rumah.Sedikit sebanyak badannya terasa dingin dan segar.Dia teringat kalau di kampung dulu seudah tentu lebih nyaman dan tenteram lagi,bukan sahaja bayu laut meniup lembut tetapi suasana kampung amat berbeza sekali dari kota yang serba sibuk itu.

     Syahirah melemparkan pandangannya ke sebatang jalan raya di hadapannya.Kenderaan berbagai bentuk masih lagi bertali arus.Hon-hon kenderaan yang seringkali menjerit itu kadangkala amat dibencinya kerana bukan saja membingitkan pendengaran tetapi tidak sedikit pun memberikan ketenteraman dalam diri.Tetapi sudah hampir setahun dia berada di kota Kuala Lumpur itu baginya sudah menjadi suatu kebiasaan,melihat tingkah laku manusia yang berbagai bangsa dan agama menjalani hidup dengan berbagai gaya dan cara.Tidak seperti di kampung,orang-orang kampung tidak sesibuk orang di kota.Orang di kampung lebih utamakan hidup berjiran dan jauh sekali daripada bunuh-membunuh serta berkelahi antara satu sama lain.Sudah lama dia tik pulang ke kampung tetapi otak kepalanya masih kukuh segala suasana dan keadaan dan kampungnya yang terletak beratus batu dari Kuala Lumpur.

     Tiba-tiba dia disergah oleh rakan sebiliknya,Milah yang menguntum senyum padanya.Milah sudah berpakaian cantik,bau badan Milah pun harum.Wajah Milah sudah semakin jelita.Pipinya dibedakkan dan disapukan  dengan sedikit alat solek yang membuatkan pipinya kemerah-merahan.Bibir Milah digincu kemas dan menambahkan lagi seri wajahnya yang jelita itu.

     "Betul-betul kau dah buat keputusan Sya?",tanya Milah setelah melabuhkan punggungnya di atas kusyen yang masih baru itu.Syahirah meninggalkan jendela lalu duduk berhadapan dengan Milah,soalan Milah tidak dijawapnya lagi.Dia melihat saja Milah sedang membetul-betulkan baju kebaya yang bahagian kainnya membelah hingga ke paras paha.Milah duduk berselempang kaki lalu ternampaklah pahanya yang gebu dan putih itu.

     "Ayuh kenapa ni diam aja,aku tanya tadi keputusan kau siang tadi betul ke atau kau bersenda saja?",soal Milah lagi.Syahirah mengeluh.Milah tidak tahu apa yang dikeluhkan rakannya itu."Kau fikir dulu Sya,kalau kau berhenti kau nak kerja apa di kota ini?Kau cuma lulus darjah enam,apa yang kau boleh buat?Orang yang lulus SPM dan STPM itu bersepah di Kuala Lumpur ni",ujar Milah tegas sambil matanya tepat ke wajah Syahirah yang masih duduk membisu seribu bahasa.

     "Aku dah fikir".

     "Fikir apa?".

     "Apa yang aku cakapkan siang tadi.Aku mahu berhenti.Aku tidak mahu terus hidup begini",kata Syahirah sambil membetulkan rambutnya yang jatuh menutup matanya.

     "Kan kerja ini kau juga yang mahu dulu kenapa tiba-tiba sahaja kau mahu berhenti?Tak sampai satu jam kita boleh dapat hampir RM600",tegas Milah lagi.

     "Wang ringgit tidak memberi apa-apa Milah,aku tidak mendapat ketengan jiwa.Dulu aku tidak tahu tapi sekarang sudah banyak yang aku tahu.Kerja kita ni salah.Agama kita melarangnya,Tuhan mengutuk diri kita.Hidup dengan bermandikan wang ringgit yang dapat daripada jualan tubuh badan adalah haram dan dan ditegah oleh Islam",Syahirah bersuara dengan petah.

     Milah agak kaget dengan kata-kata rakannya itu.Selama ini Syahirah tidak pernah mengutarakan pasal agama dan nama Tuhan.Tapi kini Syahirah sudah berubah,siapa yang merubahkan dirinya!!!"Sya kenapa kau kenapa kau baru sedar yang kerja kita ini terkutuk.Siapa yang menyedarkan diri kau?",tanya Milah kaget.

     "Aku sendiri yang sedar.Tiada siapa pun yang menyedarkan sikap aku.Dulu aku masih mentah dalam selok-belok hidup ini.Rupa-rupanya ia penuh dengan duri dan ranjau yang pahit untuk ditelan."

     "Sudah terlambat Sya,diri kau sudah kotor.Diri kau bukan gadis lagi.Orang di kota ini sudah kenak engkau,perempuan yang mempunyai potongan badan yang seksi.Kalau kau berhenti,kau tidak boleh elakkan muka daripada pandangan orang.Orang sudah kenal kau sebagai perempuan bar kelas satu",ujar Milah dengan berani.Syahirah tidak sedikit pun terasa akan segala kata Milah,semuanya betul.Lelaki mana yang tidak mengenal dirinya?Setiap lelaki tidak kira apa bangsa sudah puas mengecapi nikmat daripada mengusap dan menggomol tubuhnya itu.Sesungguhnya perasaan malu kepada masyarakat sekeliling membara di hatinya.Tapi kini dia sudah sedar,dia lebih malu kepada Tuhan yang Esa.Tuhan menyaksikan segala perbuatannya yang terkutuk itu.

     "Aku lebih malu kepada Tuhan,Milah.Tuhan itu Maha Kaya,Dia menentukan segala-galanya.Mungkin aku sedar sekarang kerana sudah takdirNya sejak azali lagi.Aku tidak mahu menjadi umat Islam yang sesat,aku tidak mahu mati aku nanti tidak diterima di sisiNya",ujar Syahirah berani.Milah membeliakkan mata kerana perkataan sesat itu menyentuh hati dan perasaannya yang mulai gelora itu.

     "Jadi kau tuduh aku orang yang sesat,begitu ya Sya?Aku bekerja ini keran terpaksa.Aku seperti kau juga,belajar cuma setakat darjah enam sahaja.Ibu bapa aku tidak sukakan aku,mereka usir aku dari rumah.Mereka kata aku ini anak tidak mengenal untung,anak yang degil dan berkepala batu.Aku sedih dengan cemuhan melulu mereka itu.Aku ada hati,ada perasaan,sepatutnya mereka mendidik aku ke jalan yang lurus.Tapi...aku dibiarkan.Diri aku bagaikan bukan anak mereka.Tapi,adik-beradikku yang lain diberikan kasih sayang yang secukupnya.Mereka semua dimanjakan tapi,aku dibuatkan bagai anak tiri.Aku menerjunkan diri dalam kerja hina ini bukanlah dengan kerelaan hatiku tapi sudah terdesak.Aku terpaksa Sya,aku tahu kerja ini salah",ujar Milah dengan suara yang tersekat-sekat.Air matanya hampir jatuh di pipi.

     Sedih juga hati Syahirah apabila mendengar cerita sebenar perihal rakannya itu.Kini,barulah dia tahu bahawa Milah senasib dengannya.Dia juga begitu.Setelah kematian ibu kandungnya,ayahnya kahwin lagi.Dia berharap benar ibu tirinya itu akan dapat memberikan kasih sayang seperti ibu kandungnya dahulu.Tetapi sangkaannya meleset samasekali,ibu tirinya cuma mahukan harta ayahnya sahaja dan adiknya yang dua orang lagi diseksa setiap hari.Kalau di hadapan ayah,ibu tirinya itu bersikap lain.Dia dan adik-adiknya diberi kemanjaan dan kasih sayang sebagai seorang ibu tetapi apabila di belakang ayah,dia akan bersikap lain.Inilah yang meruntuhkan hatinya.Lantas dia mengikutkan langkah kakinya hidup di kota Kuala Lumpur yang penghuninya sebilangan besar mengejar harta dunia dan hiburan semata-mata.Nasib dia baik,dia telah berjumpa denga Milah di stesen kereta api.

     Pada mulanya mereka berdua bekerja di salah sebuah kilang elektronik.Tetapi cuma sebulan sahaja kerana sikap pengurus kilang itu mereka berdua berhenti.Pengurus itu mahukan mereka berdu memakai pakaian yang mendedahkan tubuh badan.Tetapi,tatkala itu mereka masih kuat mempertahankan maruah diri lantas dengan jalan berhenti sahaja yang membolehkan mereka berdua terlepas daripada cengkaman manusia dibenci mereka itu.

     Lantas pada suatu hari,mereka berdua bertemu dengan Puan Lim.Puan Lim berjanji memberikan mereka berdua kerja yang mendatangkan wang yang banyak.Suatu malam mereka berdua dibawa oleh Puan Lim ke sebuah bangunan,mereka dibawa ke tingkat enam.Setiba sahaja di dalam bilik,mereka terus berkenalan dengan beberapa orang lelaki,seorang berbangsa melayu dan dua orang lagi berbangsa cina.Rupa-rupanya mereka berdua ditipu.Selepas meneguk air yang dikatakan air sirap itu,mereka berdua tidak sedarkan diri.Sedar-sedar mereka berdua sudah di atas katil dalam keadaan telanjang bogel.Syahirah tidak dapat melupakan saat itu hingga kini masih kental dalam otak kepalanya.Sejak hari itu dirinya sudah tidak suci lagi.Kemahkotaan dirinya yang dijaga sudah diragut oleh lelaki bernafsu Iblis,apakan daya...nasi sudah menjadi bubur.Lantas sejak hari itulah,mereka tercebur dalam kancah kehinaan dan bekerja di bar atas paksaan Puan Lim.

     "Maafkan aku Milah,bukan aku sengaja untuk menyakitkan hati engkau",ujar Syahirah yang dari tadi asyik melayang fikirannya yang berserabut itu.

     "Hidup kita sudah jauh daripada matlamat asal Milah.Kita telah memasuki persimpangan yang penuh kenodaan.Kita telah terlupa pada agama kita.Islam amat mencemuh akan umat-umatnya yang bertindak secara melulu dan mengikut hawa nafsu".

     "Tapi kita dianiaya oleh perempuan celaka tu!Dialah yang membuatkan diri kita sampai menjadi begini.Kita telah lupakan Tuhan.Kita telah lupakan ajaran agama kita.Kita telah deperkuda oleh Puan Lim",ujar Milah seakan sedar kedudukan dirinya kini.Hatinya mulai berbelah-bahagi.Hatinya semakin merusuh.Tiba-tiba sahaja sikapnya mulai berubah.Bilamana Tuhan disebut Syahirah pada awal perbualan tadi,seluruh perasaan dalam dirinya mulai kecut dan takut.

     Mungkin salah kita juga Milah".

     Salah bagaimana? Kita terpaksa malakukan kerja terkutuk itu,dia ugut kita.Kalau kita tak ikut cakap dia,maruah diri kita akan disebarkan pada orang lain.Kau pun tahukan dia itu ibu ayam.Siapa tak kenal dia,setiap lelaki yang inginkan perempuan datang kepadanya".

     "Kita patut bertindak lebih awal dulu,tapi...",Syahirah terhenti bersuara.Dia mengeluh.Milah mengeluh sama.

     "Tapi kita serba salah bagaimana ditelan mati emak diluah mati bapa",sambung Syahirah sambil membetulkan duduknya.

     "Sudah seminggu lebih aku memikirkan diri kita berdua.Tapi,baru siang tadi aku suarakan pada kau tentang niat aku untuk berhenti daripada menjadi perempuan sampah masyarakat.Aku tak sanggup menanggung dosa bila mati kelak.Aku ingin mendekatkan diriku padaNya,Tuhan semesta alam".Milah menundukkan mukanya memandang lantai simen yang terkopek.Segala cakap Syahirah bagai menghentam gegendang telingannya.Di ruang matanya terbayang berbagai peristiwa pahit yang dijalani selama dia hidup 25 tahun lalu.Dalam detik itu juga hatinya bagai terbisik sesuatu.Insaflah dan tinggalkan kerja hina ini!Fikirannya bercelaru.Perasaannya berbelah bahagi.

     Tiba-tiba azan bergema dari muncung radio.ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR!Tersentak hati Syahirah dan Milah.Tiba-tiba jua hati mereka terus mengingati ALLAH,tuhan  yang Maha Pengasih.Tanpa disedari,Milah menitiskan air matanya.Melihatkan Milah,seluruh perasaan Syahirah seakan menggigil dan meronta-ronta untuk dibaja dengan semangat baru.Esakkan Milah semakin menjadi.Lantas Syahirah tidak dapat mengawal perasaannya,dia turut menitiskan air mata jernih jatuh membasahi pipinya yang masih tegang itu.

     Milah berlari masuk ke dalam bilik.Dia merebahkan dirinya di atas tilam yang empuk.Dia menangis sambil menekupkan muka dengan bantal.Syahirah kembali ke jendela yang masih ternganga luas itu.Bayu malam yang datang dari arah bukit yang jauh itu menampar-nampar mukanya.Dia melemparkan pandangan ke atas lalu ternampak bulan yang seakan tersenyum padanya.Bintang-bintang berkelipan bagaikan ada temasya di atas langit.Sungguh indah ciptaan Tuhan,tiada dapat dikatakan.

     Tiba-tiba,bahunya ditepuk dari belakang.Dia menoleh dan dilihatnya Milah sudah bertukar pakaian.

     "Apa kau tidak pergi kerja?".Milah menggelengkan kepala.

     "Aku sedar sekarang,aku insaf.Mari kita mengadap Tuhan",kata Milah sambil menguntum senyuman bermakna.

     Selepas tamat bersembahyang Isyak,Syahirah terus mengangkatkan kedua belah tangannya dan terus berdoa ke hadrat Ilahi.

     "Ya ALLAH ya Tuhanku,ampunilah dosa hambaMu ini.Kau tunjukkanlah aku jalan yang benar.Kau berikanlah keampunan terhadap dosa-dosaku selama ini.Aku beertaubat kepadaMu ya ALLAH,Kau berikanlah aku cahaya hidup baru dan Kau lindungilah aku daripada buruan Iblis terkutuk.Demi kebesaranMu aku menyerahkan diri ini dengan sejujur hati dan Kau bukalah pintu taubat untuk hambaMu yang hina ini...",dalam berdoa itu air mata Syahirah turut jatuh ke pipinya.

     Milah di sisi Syahirah turut berdoa kepada Ilahi.Air matanya turut tumpah menandakan kesesalan hatinya terhadap perbuatannya yang telah dilakukan dan tanda kesyukuran kepadaNya,Tuhan yang Maha Pengampun.

     Selesai sahaja mereka berdoa,mereka bersalaman dan memeluk antara satu sama lain.

     "Terima kasih Sya,kerana kaulah aku sujud ke hadratnya".

     "Bukan apa Milah,tapi padaNya yang mana telah membuka hati kita untuk bertaubat".Merekea berdua menguntum senyuman panjang.Fikiran mereka lapang tiba-tiba.Sungguhnya Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.Di luar,malam semakin merangkak tua dan di dada langit bintang masih berkelipan dan sang rembulan seakan tersenyum di balik awan.

No comments:

Post a Comment