Saturday, November 16, 2013

Cinta...

     Benarlah belaka ungkapan guruku yang mulia,Dr.Asri namanya,walaupun kita tidak pernah bersua namun ceramahnya ku perolehi hikmah:

     Hidup berdiri di atas cinta.

     Jika diukir dengan segala bahasa,
     cinta itu masih tiada sastera buatnya.
     Jika dilukis dengan segala warna,
     Cinta itu masih tiada citra baginya.

     Tidakkah kerana cintakan TUHAN,
     insan berkorban dan terkorban?
     Tanpa cinta lenyaplah agama.

     Tidakkah kerana cintakan anak,
     ibu lupakan segala kehendak?
     Tanpa cinta pupuslah manusia.

     Tidakkah kerana cintakan kekasih,
     insan sanggup hidup tersisih?
     Tanpa cinta muramlah suasana.

     Tidakkah kerana cintakan negara,
     rakyat sanggup hidup sengsara?
     Tanpa cinta hapuslah warga.

     Dari akar mekar rasa cinta,
     lahirlah jiwa mesra dan manja.
     Dari akar mekar rasa cinta,
     bahagia dan sengsara menjelma.
     Dari akar mekar rasa cinta,
     munculnya tawa dan air mata.

     Cinta itu makhluk TUHAN,
     penuh keajaiban,
     penuh kehairanan,
     penuh kenikmatan,
     penuh kesakitan,
     penuh kesyahduan,
     penuh keharmonian,
     namun cinta tetap keperluan.

     Tanpa cinta pincanglah alam...

     (Penawar Duka,Pengubat Sengsara)

     Itulah di antara ungkapan yang pernah saya baca di dalam sebuah buku yang berjudul,"Penawar Duka,Pengubat Sengsara",yang ditulis oleh seorang pakar hadith Malaysia,Dr.Asri atau yang selalu juga diberi julukan sebagai Dr.Maza.Beliau merupakan seorang yang tidak dangkal ilmunya,setabil ilmunya  tentang ukhrawi dan duniawi sekaligus.Semoga ALLAH S.W.T sentiasa merahmatinya.

     Cinta...jika hendak dibicarakan,tidak cukup hanya dengan pena ataupun tinta.Ia adalah suatu perakara yang tidak dapat difahami sepenuhnya melainkan setelah kita merasainya.Jika ia diletakkan di tempat yang benar,maka hati kita akan terasa sesuatu yang berbeza.Apabila ia berada di tempat yang benar,ketahuilah bahawa semua yang dilakukan pastilah dengan rasa ikhlas dan tawaduk.Kerana apa ia jadi begitu?Kerana sesuatu yang benar itu wajiblah bertunjangkan agama.Setelah manusia menjadikan agama sebagai landasan, ALLAH akan turunkan sakinah ke dalam hati sang pemilik cinta.

     Cinta tidaklah salah,bukankah begitu hakikat sebenarnya?Tanpa cinta,Nabi kita Muhammad S.A.W tentulah tidak akan berdakwah.Baginda S.A.W berdakwah kerana cintakan agama ALLAH tersebar,bukankah begitu realitinya?Oleh itu apa salahnya kita bercinta.Walaupun cinta itu keperluan,namun banyak rintangan yang akan kita harungi ketika merasai nikmat cinta itu.

     Antara rintangannya adalah,kita tersalah meletakkan cinta itu di atas dasar yang benar.Contohnya,kita meletakkan cinta itu di atas dasar hawa nafsu,maka tidak akan tenteramlah kehidupan kita sehari-hari.Mungkin pada zaman arus globalisasi ini,orang kata,"mana ada begitu,kawan baik saya bercinta bukannya di atas dasar agama tetapi saya lihat dia hidup senang sahaja".Kita boleh jawab begini,"sebenarnya tidak begitu,mungkin dia hidup senang tetapi belum pasti dia hidup di dalam keadaan tenang.Tenang tidak pernah sesekali sama dengan senang.Berapa ramai orang yang hidup dalam keadaan kaya raya,tidur di atas tilam yang empuk tetapi tidurnya tidak lena dan nyenyak sepertimana tidurnya seorang fakir yang hanya tidur di atas tilam yang tidak empuk.Itulah bezanya tenang dan senang".

     Cinta itu sendiri merupakan di antara tanda kebesaran ALLAH.Lihatlah apa yang ALLAH firmankan di dalam surah Al-Rum pada ayat 21 yang bermaksud,"Dan di antara tanda-tanda(kebesaran-Nya) ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untuk kalian daripada diri kalian agar kalian cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan mejadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.Sungguh,pada yang demikian terdapat tanda-tanda(kebesaran ALLAH) bagi kaum yang berfikir".ALLAH sifatkan cinta di situ sebagai kasih dan sayang.Jika ditelitit melalui kacamata realiti sekalipun,perkataan 'kasih' itu sendiri tidak akan sesekali lengkap tanpa perkataan 'sayang'.Lihatlah kebesaran ALLAH,buktinya sangat jelas di dalam ayat Al-Quran tersebut.

     Gunakan cinta itu sebagai satu wasilah untuk kita berdakwah dan mempraktikkan Islam secara optimum.Bagaimana caranya?Cintailah agama ALLAH.Jika kita cintakan agama ALLAH,semua perkara perlulah kita lakukan bertunjangkan AL-Quran dan Al-Sunnah maka dengan itu tentulah selamat pekerjaan kita dunia dan akhirat.Telah bersabda Rasulullah S.A.W pada satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam Al-Muwatta' yang bermaksud,"Telah aku(Rasulullah) tinggalkan kepada kamu semua dua perkara,kamu semua tidak akan tersesat buat selama-lamanya selagi mana kamu semua masih teguh berpegang kepada keduanya,iaitu kitab ALLAH dan sunnahku".Hadith yang seperti ini banyak direkodkankan oleh para imam hadith yang lain seperti Al-Hakim dan lain-lain.Lihatlah jaminan Rasulullah,apabila ia merupakan jaminan Rasulullah sudah pastilah ia benar seratus peratus.

     Cinta ini juga merupakan pelengkap keimanan.Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud,"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai  saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri".Hadith ini telah diriwayatkan oleh Al-Tirmizi dan lain-lain.Hadith ini dinilai sahih oleh ramai para ulama hadith.Selain itu,Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud,"Maka demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya,tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku(Rasulullah) dicintainya lebih daripada orang tuanya dan anaknya."Hadith ini telah direkodkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam kitab hadithnya yang ulung,Sahih Al-Bukhari.

     Jika kita mencintai seseorang,itu tidaklah menjadi salah pada ajaran Islam.Cuma,yang menjadikan ia salah ialah cara kita memanifestasikan cinta tersebut.Jika kita mencintai seseorang,janganlah mencintainya melainkan kerana ALLAH semata-mata.Kerana dengan itu,kita akan menjaga batasan-batasan cinta mengikut hukum ALLAH.Jika kita tidak menjaga batasan-batasan cinta tersebut,maka jelaslah bahawa cinta kita tidaklah kerana ALLAH.Diriwayatkan daripada Anas bin Malik daripada Nabi S.A.W,baginda bersabda,"Tiga perkara apabila ada pada diri seseorang ia akan mendapatkan kemanisan iman:Dijadikannya ALLAH dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya.Jika ia mencintai seseorang,dia tidak mencintainya kecuali kerana ALLAH.Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci dilempar ke neraka."Hadith ini direkodkan oleh Imam Al-Bukhari.

       Jelaslah bahawa di dalam hadith tersebut,cinta sangat penting.Tetapi,yang paling utama adalah cinta Ilahi iaitu cinta ALLAH.Apabila kita berhasil untuk memperolehi ketiga-tiga perkara di atas maka kita sudah tentu akan merasakan kemanisan iman,itu janji Rasulullah S.A.W.Apabila kita berbicara mengenai kemanisan iman,ia adalah sesuatu yang perlu dirasai bukan diketahui.Sesiapa yang tidak pernah merasai,pasti  dia tidak akan memahami maksudnya yang sebenar.Perkataan 'manis' itu sendiri jika kita perasan,bunyinya sendiri sudah manis.Cuba kita gantikan perakataan 'manis' itu dengan perkataan 'pahit'.Adakah ia sesuai?Bunyinya sendiri sudah kita rasa pahit.Jika kemanisan iman merasuk jiwa insan,segala larangan ALLAH akan menjadi pedih dan pahit buatnya manakala segala suruhan ALLAH menjadi manis dan selesa buatnya.Inilah sedikit tentang maksud cinta yang dapat ku coretkan dan ceritakan pada kalam ini.

No comments:

Post a Comment